Ijtima' Tarbawi Peringkat Kebangsaan 2011

Ijtima' Tarbawi Peringkat Kebangsaan 2011 pada 28-30 Oktober 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Selangor.

Belanjawan Pakatan Peruntuk RM220 Bilion

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Konsep Keadilan Dalam Islam

Islam juga mewajibkan hubungan secara kemanusiaan, walaupun berbeza agama. Hak rakyat bukan Islam dalam Negara Islam hendaklah dijamin dengan seadil-adilnya, tanpa mengira kaya atau miskin.

Peneroka Lapor Polis Terhadap Isa Samad

Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis di sini semalam oleh ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan wakil peneroka terhadap Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Cukai 6% Unifi dan Streamyx Mulai Januari

Pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Jumaat, 28 Oktober 2011

Pasca HIMPUN : Kerajaan Wajib Laksana Undang-Undang Islam

1. Sejurus berakhir himpunan yang penuh kontraversial, Himpunan Sejuta Ummah di Stadium Shah Alam pada 22 hb Oktober 2011 kelmarin, saya lihat ini adalah masa yang tepat untuk kerajaan UMNO dan BN mengisytiharkan penerimaan dan perlaksanaan undang - undang Islam di dalam negara kita, khasnya berkait dengan undang - undang murtad dan jenayah syariah yang lain [hudud].

2. Paling minima, Kerajaan UMNO dan BN sewajarnya bersedia mengiktiraf, memberi laluan dan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 yang telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan sejak tahun 1993 yang lalu.

3. Gesaan ini saya asaskan kepada sikap yang telah diambil oleh UMNO sebagai pemegang teraju kerajaan serta ngo UMNO yang menyokong gerakan Selamatkan Aqidah Ummah dan 10 resolusi [rujuk lampiran] yang dihasilkan dari Himpunan Sejuta Ummah di Shah Alam kelmarin.

4. Menerima dan melaksanakan undang - undang Islam adalah sebahagian daripada tuntutan aqidah Islam yang mesti ditunai oleh setiap individu muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt. Sementelah pula melihat pelbagai aspek yang membuktikan kegagalan undang - undang ciptaan manusia untuk mengatasi pelbagai jenayah yang dilakukan oleh manusia. Menolak undang - undang Islam kerana ingkar dan angkuh hanyalah membinasakan aqidah.

5. Perjuangan HIMPUN adalah untuk selamatkan aqidah dan ianya disokong oleh UMNO dan ngo - ngo nya. Justeru itu saya percaya inilah masa yang betul dan tepat untuk UMNO menyatakan kesediaan mereka bagi melaksanakan undang - undang Islam kerana ia sebahagian dari tuntutan aqidah yang mahu diselamatkan oleh mereka.

6. PAS menyokong perjuangan untuk selamatkan aqidah malah PAS sejak awal lagi telah menggerakkan kebangkitan untuk menyelamatkan aqidah ummah yang telah dicemari oleh faham sekular yang tebal sehingga lahir pegangan politik suku dan agama suku dalam masyarakat ummat Islam di negara kita. Pemerintah enggan melaksanakan syariat Islam kerana memahami Islam hanya dalam perkara solat, puasa, haji dan zakat, tidak lebih daripada itu.

7. Biarpun gerakan tersebut dianggap menongkah arus, PAS mendepani pelbagai bentuk halangan dan cabaran serta menyerap tekanan demi masa depan aqidah ummah. Saya masih ingat ucapan atau amanah Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang diangkat menjadi "fatwa" oleh kerajaan UMNO dan BN pada satu masa dahulu [sekitar awal 80an] yang telah mencetus satu fenomena :

Saudara - saudara sekelian , Percayalah
Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO
Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan
Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah
Mengekalkan undang - undang kafir , mengekalkan peraturan jahiliyyah
Oleh kerana itulah kita menentang mereka
Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka
Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka
Percayalah saudara - saudara sekelian
Perjuangan kita adalah Jihad
Ucapan kita adalah jihad
Derma kita adalah Jihad
Bergantunglah kita kepada Allah dengan [menghadapi] puak - puak ini
Kerana kalau kita mati melawan puak - puak ini
Mati kita adalah syahid , mati kita adalah mati Islam
Kita tidak perlu masuk Budha
Kita tidak perlu Hindu
Kita tidak perlu masuk Kristian
Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku , agama suku.

8. HIMPUN hanya benar - benar berjaya apabila semua ngo yang bergabung dibawahnya menyatakan komitmen tinggi untuk terus melangkah, menggalas perjuangan memartabatkan syariat Islam di atas tanahair kita. Sementara parti politik seperti UMNO yang mempunyai kuasa dan mandat memerintah negara, sayugianya bertindak lebih dari sekadar menyokong agenda HIMPUN untuk menyelamatkan aqidah.

9. Bahkan UMNO mestilah manafaatkan seluruh keupayaan dan kekuatannya selaku parti utama dalam pemerintahan negara untuk mendaulatkan syariat Islam dalam pelbagai aspek peraturan dan perundangannya demi memastikan agenda menyelamat aqidah ummah benar - benar praktis dan berkesan. Ia boleh dimulakan dengan sokongan padu kepada kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Qanun Jenayah Syariah 2.

10. Perlu difahami bahawa bahawa sokongan UMNO kepada HIMPUN dan agenda perjuangannya tidak sama sebagaimana sokongan yang diberikan oleh ngo dan parti - parti politik yang lain justeru advantage yang ada pada UMNO ialah kuasa pemerintahan yang dimiliki oleh mereka, sedang kuasa pemerintahan itulah kelak menjadi pengawal dan benteng yang berkesan kepada aqidah ummah. UMNO tidak boleh menyokong dari belakang pentas atau hanya sokong atas angin, sebaliknya UMNO wajib menggunakan kuasanya untuk selamatkan aqidah dengan perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh Al Imamul Ghazali rhm di dalam al Iktisad fil I'tiqad

الدين أس و السلطان حارس و ما لا أس له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع

Agama adalah tapak dan kuasa pemerintahan adalah pengawal, suatu yang tiada tapak pasti akan runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti akan hilang.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Lampiran :

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yg tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam Negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, hendaklah memastikan supaya Undang-Undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendididkan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutama ibubapa mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman islam yang syumul agar membentengi anak dan waris terdekat dengan daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

Kesembilan:Menggesa kerajaan supaya membantu dan mengawal aktiviti pihak media samaada media samaada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh: Menyeru seluruh umat islam yang hadir di perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat me mpertahankan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Himpunan Pemuda PAS Putrajaya

Ucaptama oleh YBhg. Sdr. Kamaruzaman Mohamad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tanggal 15 Oktober 2011 menjadi satu titik tolak ke arah memangkin gerak kerja Pemuda PAS Putrajaya dalam misi besar utk menawan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia. Dengan menduplikasi tema ‘Memimpin Kebangkitan Anak Muda’, Himpunan Pemuda PAS Putrajaya telah berlangsung dgn jayanya seperti yg dijadualkan. Dengan kehadiran seramai ?? org pemuda mencerminkan komitmen dan keterlibatan sebahagian besar pemuda putrajaya bagi merialisasikan matlamat perjuangan. Antara objektif yg ingin dicapai pada himpunan tersebut ialah untuk mengumpulkan kembali pemuda-pemuda di kawasan putrajaya. Penjanaan semula semangat di kalangan pemuda juga diterapkan dalam agenda program bagi memastikan kelesuan yg mula menjalar di hati dan sanubari tidak kekal lama dan dapat digantikan dengan input-input yg positif. Ukhuwwah di kalangan ahli juga dapat dieratkan dengan pertemuan-pertemuan seperti ini.

Ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah, Sdr Kamaruzzaman Mohamad telah membuka minda semua hadirin dengan tumpuan yg diberikan daripada peristiwa ‘Pembukaan Kota Constantinople’ oleh Sultan Mohamad Al- Fateh. Strategi dan taktik perang Sultan Muhammad Al-Fateh telah diperakui sehingga hari ini antara taktik perang yang hebat dan bijak serta unik yang telah merealisasikan misi pembebasan setelah kesemua 5 kempen yang dilancarkan di zaman kerajaan Umayyah, kerajaan Abbasiyah dan kerajaan Usmaniyah menemui kegagalan

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Pengisian oleh Al-Fadhil Ust Ridhuan Ismail juga dilihat telah berjaya memberikan kefahaman dan kesedaran yang terkesan kepada setiap individu yang hadir. Beliau menekankan usrah sebagai nukleus jama’ah yang perlu dijadikan komitmen utama dalam gerakan ini. Beliau turut mengulas tentang istiqamah dalam perjuangan walau dalam apa jua keadaan.

Inilah himpunan jundi-jundi yang berjuang untuk agama Allah S.W.T. Penghiasnya adalah anak-anak muda yang bersemangat sekali untuk meneruskan agenda perjuangan. Semoga roh jihad yang sentiasa ditiup oleh para ulama dan para pejuang yang istiqamah akan melangsaikan segala tanggung jawab dan kewajiban yang kini masih tertangguh. Ayuh sahabat-sahabat, kita bergerak ke medan juang. Kita ubah negara yang kita cintai ini dengan acuan Islam. Allahu Akbar!!




Zulfikar Abd Kasim
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Putrajaya

Khamis, 13 Oktober 2011

Ahli KPF, Peneroka Lapor Polis Terhadap Isa Samad

TEMERLOH, 13 Oktober: Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis di sini semalam oleh ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan wakil peneroka terhadap Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan dakwaan bahawa Isa telah menyalahgunakan kuasa serta ‘merampas’ jawatan Pengerusi Permodalan Felda Berhad daripada pemegang jawatannya Datuk Dzulkifli Wahab, secara tidak sah semasa Dzulkifli berada di tanah suci Mekah menunaikan Umrah.

Mereka ditemani peguam Suhaimi Said yang juga Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat.

Menurut Suhaimi, semasa ketiadaan Datuk Dzulkifli Wahab yang juga Pengarah Besar Felda, Isa telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah KPF pada 25 Ogos 2011 dan berbekalkan surat daripada Perdana Menteri, Isa telah melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi KPF.

“Ini bertentangan dengan Undang-Undang di bawah Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) Akta 502, dan telah menyalahgunakan kuasa kerana mengangkat dirinya sendiri sebagai Pengerusi baru kepada KPF, mengambil alih jawatan yang disandang oleh Datuk Dzulkifli Wahab semasa beliau menunaikan Umrah di Mekah.

“KPF telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1980 dibawah Ordinan Koperasi 1948 bertujuan untuk menjadikan KPF sebagai wadah simpanan dan pelaburan anggota Felda.

“Penubuhan KPF ini telah menyerlahkan hasrat murni Felda untuk memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda melalui KPF, juga merupakan suatu wawasan dan prihatin Felda untuk kemajuan warga Felda,” tambahnya.

Menurut Suhaimi, Isa Samad tidak layak memegang jawatan selaku Pengerusi KPF kerana beliau tidak layak menjadi ahli kepada KPF yang membuka keahliannya hanya kepada Peneroka Felda, anak peneroka atau kakitangan tetap Felda.

Tambahnya, kedudukan Isa hanyalah bertaraf kontrak justeru pelantikan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah bertentangan dengan undang-undang koperasi dan menyalahgunakan kuasa dengan membuat perlantikan ke atas dirinya sendiri.

“KPF merupakan salah sebuah daripada 10 koperasi cemerlang yang menjadi contoh koperasi yang berjaya memberikan dividen yang tinggi atas kadar 15% setahun dan ini membuktikan bahawa KPF telah dikelolakan dan diselenggarakan dengan baik oleh Datuk Dzulkifli dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

“Pengambilalihan jawatan Pengerusi dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang koperasi ini adalah pengkhianatan kepada KPF dan laporan dibuat supaya Isa disiasat kerana melanggar undang-undang dan menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.

Tambah Suhaimi, laporan yang sama telah dibuat serentak di balai-balai polis utama di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak.


Harakahdaily

Rabu, 12 Oktober 2011

Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011



Draf Tentatif Ijtima' Tarbawi 2011

HARI PERTAMA : 28 OKTOBER 2011
__________________________________

3.00 - 4.00 pm : Pendaftaran peserta
4.20 - 5.00 pm : Solat Asar dan Al Mathurat
5.15 - 5.45 pm : Taklimat program oleh Pengarah Akademi Tarbiyah
5.50 - 6.30 pm : Urus dan Hemat diri
6.35 - 7.10 pm : Tafakkur dan Munajat
7.15 - 7.30 pm : Solat Maghrib berjamaah
7.35 - 8.30 pm : Kuliah Maghrib

Oleh: Al Fadhil Dato' Dr. Harun Din : Timbalan Mursyidul Aam PAS

8.40 - 8.55 pm : Solat Isyak berjamaah
9.00 - 9.30 pm : Makan Malam

9.40 - 11.40 pm : Majlis Perasmian

Oleh:
YAB Dato' Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat
YB Salahudin bin Ayub
Ustaz Nasrudin Hassan
Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

12.00 am : Program ditangguhkan dan tidur

HARI KEDUA : 29 OKTOBER 2011
_______________________________

4.30 - 5.10 am : Qiamullail dan munajat
5.30 - 6.00 am : Solat Subuh berjamaah dan Al Mathurat
6.10 - 6.50 am : Kuliah Subuh:

Oleh: al Fadhil Ustaz Idris Bin Ahmad

7.00 - 8.00 am : Khidmat Diri dan Sarapan Pagi
8.30 - 9.20 am : Taujihat Amal Tarbawi 1:

Oleh: Dr. Mahdi Akif mantan Mursyidul Aam Ikhwanul Muslimeen

9.30 - 10.20 am : Rehat
10.30 - 11.45 am : Pembentangan Kertas Kerja 1: PAS dan Tahaluf Siyasi

Pembentang : Ustaz Nik Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura)
Pengulas : Dato’ Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS)
Pengerusi : Ust Syed Abdul Kader

12.00 - 12.50 pm : Makan Tengahari
1.00 - 1.20 pm : Solat Zuhur berjamaah.

2.00 - 3.30 pm : Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS dalam Lanskap Politik Semasa

Ahli Panel :
Dr. Zuhdi Marzuki : Pengarah Strategi DPP Malaysia
Dr. Abu Hassan,
Ustaz Abu Bakar Chik
Moderator: Dr. Aminurrasyid Yatiban

4.30 - 5.10 pm : Solat Asar berjamaah dan Al Mathurat
5.15 - 6.10 pm : Bina jaringan Ukhuwwah
6.15 - 7.10 pm : Rehat dan Makan Malam
7.15 - 7.30 pm : Solat Maghrib berjamaah
7.35 - 8.35 pm : Kuliah Maghrib:

Oleh : Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

8.40 - 9.00 : Solat Isyak berjamaah
9.30 - 11.30 pm : Ceramah Pentas Pemuda

Penceramah:

Dr. Kamal Al Helbawi
Tuan Haji Muhammad bin Sabu - Timbalan Presiden PAS Pusat
Mahfuz Umar - Naib Presiden PAS
Ustazah Siti Zailah - Ketua Muslimat PAS Malaysia
Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda DPPM)
Ustaz Riduan Mohamad Nor (ketua Penerangan DPPM) - Pengerusi

12.00am : Program ditangguhkan


HARI KETIGA 30 OKTOBER 2011
______________________________

4.30 - 5.40 am : Qiamullail dan munajat

5.50 - 6.30 am : Solat Subuh berjamaah dan al Mathurat

6.35 - 7.20 am : Kuliah Subuh

Oleh : Ustaz Nasharudin Mat Isa - Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat

7.30 - 8.30 am : Khidmat Diri dan Sarapan pagi
9.00 - 10.00 am : Pembentangan Kertas Kerja 2: PAS dan Ijtihad Politik

Pembentang : Ustaz Dr. Khairudin at Takiri
Pengerusi: Dr. Raja Iskandar - Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia

10. 05 - 11.00 am : Rehat
11.05 am - 12.35 pm : Talaqqi Surah As Saff . vol 1

Oleh: YAB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

12.40 - 1.30 pm : Makan Tengahari dan Solat Zuhur berjamaah

1.40 - 3.30 pm : Talaqqi Surah As Saff . vol 2

Oleh: YAB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

3.40 - 4.40 pm : Perasmian Penutup:

Oleh: Ustaz Nasrudin Tantawi , Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz & Dr. Raja Ahmad Iskandar al Hiss.

4.45 pm : Solat Asar berjamaah, Al Mathurat , Doa Wehdah dan Bersurai

Selasa, 11 Oktober 2011

Unifi dan Streamyx Kenakan Cukai 6% Mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Hal ini disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka, lapor blog really.tigaline.com.

Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu.

Ini bermakna, hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.


12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee. 


HarakahDaily

Kanak-kanak, Remaja Layari Internet 19 Jam Seminggu

Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak "Child Online Protection" di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat berkata kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

"Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin 'IT savvy' setanding dan konsisten dengan trend antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak," katanya.

Berikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.

Menurutnya langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Prof Datuk Husin Jazri berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175 daripadanya melibatkan penipuan.

Beliau berkata jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.

Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan 3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

"Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. Jumlah ini terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar," katanya.


MalaysiaKini

Belanjawan Pakatan Peruntuk RM220 Bilion

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat antaranya adalah seperti berikut:

1 - Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

2 - Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

3 - Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

4 - Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

5 - Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat

a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

Menjamin Kelangsungan Wang Negara

Bagi menjamin kelangsungan wang negara, Belanjawan 2012 Pakatan Rakayat akan mengambil pendekatan berikut:

a) Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan bagi mengurangkan kecenderungan beberlanja berlebihan oleh perdana menteri

b) Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2012.

c) Dividen Petronas diunjur pada kadar RM26 bilion sahaja iaitu RM4 bilion lebih rendah dari BN bagi memastikan Petronas mempunyai sumber mencukupi untuk terus berkembang.

d) Penjualan Lesen Import (AP) akan dibuat secara lelongan bagi menambah pendapatan negara dengan kadar RM1.2 bilion.

e) Pendekatan perolehan kerajaan akan diamalkan secara tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputera.

f) Menyemak kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara.

g) Mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara.

h) Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain.

Membina keanjalan dan daya saing ekonomi

a) Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi yang tidak adil.

b) Meminda Akta Persaingan 2011 supaya meliputi sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli laian untuk memecahkan monopoli.

c) Mengurangkan pekerja asing menjelang 2015 mengikut sektor.

d) Elauan penjagaan anak RM1000 setahun kepada ibu-ibu yang layak dipadankan dengan pelaburan kerajaan membina pusat penjagaan kanak-kanak.

Kesejahteraan sekata dan seadilnya

a) Meminda Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap kepada prinsip formula berdasarkan faktor sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri.

b) Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar

c) Peruntukan khas RM100 juta untuk program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

Mengukuhkan arus reformasi rakyat

a) Melaksanakan sepenuhnya janji Buku Jingga termasuk memansuhkan ISA, akta bersabit media percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan AUKU.

b) Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti dicadang Pakatan Rakyat pada 2011 untuk memansuhkan semua akta yang bertentangan dengan amalan demokratik.

c) Melaksanakan segera semua tuntutan Bersih 2.0

d) Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

e) Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara dibentang di Parlimen bersama laporan Ketua Audit Negara.

f) Membentuk tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahas belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.


HarakahDaily

Konsep Keadilan Dalam Islam - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

ISLAM mewajibkan sikap adil dalam keluarga. Ketua keluarga yang disebut suami wajib berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap mekanisme berkeluarga, memberi nafkah kepada anak isteri dan mendidik mereka supaya menjadi orang yang baik. Maksudnya, manusia bukan sahaja wajib menunaikan keperluan asas, dalam masa yang sama wajib menunaikan keperluan rohani yang menjadi ciri hidup bagi seseorang manusia. Waris lelaki yang terdekat wajib mengambil alih menunaikan kewajipan apabila wanita tiada suami dengan sebab kematian, perceraian dan sebagainya. Di sinilah hikmahnya golongan lelaki mendapat bahagian sekali ganda daripada bahagian perempuan dalam pembahagian harta pusaka.

Islam mengizinkan poligami kerana menangani masalah masyarakat, dengan syarat wajib berlaku adil terhadap keluarga dalam semua urusan secara menyeluruh, meliputi isteri dan anak-anak. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berlaku adil atau zalim maka haram baginya berpoligami.

Allah menegaskan menerusi ayat 3 surah An Nisa' yang bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja".

Isu poligami menjadi sasaran musuh Islam dan mereka yang jahil dan sombong di kalangan umat Islam. Mereka sebenarnya mempertikaikan hukum Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Adil. Poligami adalah penyelesaian daripada Allah bagi menghadapi masalah masyarakat, jangan anggap ia semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Peningkatan jumlah wanita daripada lelaki dengan kelahiran, bencana alam atau peperangan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Itulah penyelesaian daripada Allah dengan alasan wajib yang menjamin keadilan keluarga. Sesiapa yang melanggarnya, terimalah balasannya di dunia dan di akhirat. Pihak kerajaan juga wajib memantau masalah keluarga agar berlaku adil kerana keluarga adalah komponen masyarakat yang wajib keluarga dipelihara dengan baik dan saksama.

Hubungan kejiranan ditegaskan dengan kewajipan yang besar, sehingga kewajipan terhadap jiran digabungkan bersama beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata-kata yang baik atau diam".

Jiran perlu dimuliakan tanpa mengira agama yang dianut kerana Nabi Muhammad S.A.W sendiri memberi hak kejiranan kepada yang bukan Islam. Baginda bangun berdiri apabila jenazah seorang penganut agama Yahudi lalu di hadapan Baginda. Adalah berdosa apabila seseorang yang beriman membiarkan jirannya menderita kesusahan tanpa apa-apa pertolongan.

Dalam masyarakat generasi awal umat Islam, tidak wujud rumah kebajikan bagi orang tua dan anak yatim, kerana mereka tidak ada yang terbiar dalam kelompok masyarakat. Berlaku zalim terhadap anak yatim, ibu tunggal dan jiran adalah dosa besar. Kewajipan dan perintah ini dijaga oleh setiap masyarakat kerana takut berdosa.

Islam juga mewajibkan hubungan secara kemanusiaan, walaupun berbeza agama. Hak rakyat bukan Islam dalam Negara Islam hendaklah dijamin dengan seadil-adilnya, tanpa mengira kaya atau miskin. Penganut agama Islam diwajibkan membayar zakat bagi membela orang-orang yang memerlukan bantuan melalui zakat fitrah, zakat harta simpanan, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat ternakan dan lain-lain.

Penganut bukan Islam pula dikenakan bayaran jizyah (sumbangan diri), kharaj (daripada hasil pertanian) dan usyur (daripada perniagaan) dengan cara yang tidak zalim dan tidak membebankan. Seperti juga harta kutipan zakat, harta ini digunakan bagi membantu mereka yang susah. Jelasnya orang Islam dan bukan Islam tetap dikenakan bayaran. Perbezaannya ialah, amalan zakat bersifat ibadat dan aspek ibadat Islam tidak boleh dipaksa terhadap penganut bukan Islam.

Pada zaman Khalifah Umar berlaku peristiwa menarik, Abu Ubaidah bin Al Jarrah mengambil keputusan membatalkan bayaran jizyah daripada penduduk bukan Islam di wilayah Jordan dan wang yang sudah dipungut juga dipulangkan'semula. Tindakan ini dibuat kerana ancaman tentera Rom Timur menyebabkan kerajaan Islam tidak dapat menjamin keamanan penduduk bukan Islam.

Antara syarat mengambil jizyah, pemerintah hendaklah menjaga keselamatan rakyat dan hak-hak yang lain. Penduduk bukan Islam tersebut tidak mahu mengambil wang tersebut sebaliknya menegaskan mereka lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam. Mereka menyedari keadilan pemerintahan Islam dan kezaliman penjajah Rom Timur yang seagama dengan mereka.

Suatu ketika Khalifah Umar bertemu dengan seorang tua penganut agama Yahudi yang meminta sedekah. Peminta sedekah itu lalu dibawanya kepada pengawal Baitulmal dan meminta supaya diberi bantuan yang cukup kepadanya sehingga akhir hayat. Khalifah Umar berkata, "Alangkah tidak baiknya kerana kita mengambil bayaran jizyah pada masa muda dan sihatnya, kemudian kita biarkan dia apabila dia tua".

Institusi Kehakiman Teraju Utama Masyarakat Bersih & Adil

Institusi kehakiman adalah perkara penting bagi menegakkan keadilan sebenar dalam masyarakat secara praktikal. Undang-undang yang adil sekalipun, kadang-kadang menjadi tidak adil dengan sebab pelaksanaannya pincang. Hukum Islam yang dinyatakan oleh Allah Yang Maha Adil, dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasul yang bersifat adil perlu dilaksanakan dengan adil juga. Islam menetapkan cara yang menjamin dan mengukuhkan tegaknya keadilan dalam aspek kehakiman. Antaranya menetapkan pemisahan kuasa kehakiman daripada dipengaruhi oleh badan yang lain.

Syarat hakim, saksi, keterangan dan adab mahkamah dan hakim mestilah dengan cara yang jelas dan wajib. Mereka yang terlibat dalam bidang ini mestilah seseorang yang sanggup bertanggungjawab dengan Allah dan sesama manusia. Badan kehakiman adalah satu kewajipan yang ditetapkan oleh Al Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan ijma'. la termasuk dalam urusan ibadah, pemerintahan dan memikul amanah besar dalam Islam, walaupun ianya fardu kifayah.

Banyak ayat Al Quran yang mewajibkan melaksanaan hukum Allah dengan adil, disertakan dengan amalan Nabi Muhammad dan Para Sahabat.

Hukum yang berkait dengannya dan adab-adabnya, menjadi fardu ain kepada orang yang ditugaskan menjadi hakim.

Badan kehakiman diberi hak mengendalikan pertelingkahan dalam masyarakat dengan kebebasan yang tersendiri, tanpa diganggu oleh pihak yang lain. Nabi Muhammad sebagai Rasul pilihan Allah menjadi contoh yang ulung dan unggul, tidak menyalahgunakan haknya menjadi ketua negara apabila berlaku pertelingkahan antara manusia dan dalam banyak perkara.

Baginda S.A.W berjaya memisahkan kedudukannya sebagai ketua negara dan tidak mempengaruhi kehakiman dengan melantik orang lain menjadi hakim dalam perkara yang melibatkan peribadinya tanpa apa-apa gangguan. Keadaan ini menyebabkan orang Yahudi dan Musyrikin yang paling bermusuh dengan Islam berubah menjadi penganut dan sahabat yang setia. Mereka melihat keadilan Islam secara langsung terhadap diri mereka sendiri dan perkara ini tidak berlaku di kalangan mereka sebelum kedatangan Islam.

Sebelum wafat, ketika dalam keadaan uzur, Nabi Muhammad S.A.W. datang ke masjid. Setelah menunaikan solat, Baginda menyampaikan pidatonya yang berbunyi; "Sesiapa yang aku pernah jatuhkan maruahnya sila tampil untuk beritahu, supaya aku dihukum kerana menzalimi maruahnya. Sesiapa yang pernah aku zalimi hartanya, sila nyatakan, supaya aku boleh membayar gantinya. Sesiapa yang aku pernah pukul belakangnya, ini dia belakangku silalah balas ke atas belakangku ini".

Khalifah Umar bin Al Khattab pernah bertelingkah dengan seorang Arab Badwi selepas membeli kudanya. Beliau menyedari kuda itu cacat sewaktu menunggangnya dan ingin membatalkan pembelian. Khalifah Umar memulangkan kuda itu kepada tuannya dan meminta kembali harga yang dibayar, tetapi si Badwi itu menolak. Khalifah Umar tidak memaksanya tetapi menyerahkan hal ini kepada Badan Kehakiman supaya hak mengendalikan pertelingkahan dalam masyarakat dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan tanggungjawab, dengan kebebasan yang tersendiri, tanpa diganggu oleh pihak yang lain.

Generasi Sahabat yang awal menerima tarbiyah yang menanamkan iman, melahirkan takwa dan menjadikan mereka pemimpin yang paling berwibawa yang pernah dilahirkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W, bertindak dengan adil serta memantau badan kehakiman di semua peringkat perkara ini di hadapan Hakim Syuraih yang dilantiknya. Oleh kerana kecacatan berlaku di luar tempoh membatalkan jualan, Hakim Syuraih memutuskan jualan itu tidak boleh dibatalkan.

Menurut satu peristiwa lain, baju rantai besi kepunyaan Khalifah Ali hilang, tiba-tiba dijumpai berada di tangan seorang Yahudi kafir yang paling bermusuh dengan umat Islam. Khalifah Ali tidak merampasnya secara paksa, tetapi dibawa ke mahkamah. Apabila Khalifah Ali tidak dapat mengemukakan saksi, hakim tidak membenarkan baju rantai besi itu dirampas, sebaliknya diserahkan kepada Yahudi itu.

Setelah keluar dari mahkamah, lelaki Yahudi itu menghadap Khalifah Ali. Dia mengaku baju rantai besi itu sebenarnya kepunyaan Khalifah Ali, lalu menyerahkannya kepada khalifah dan berikrar masuk Islam kerana melihat keadilannya.

Kesemua cerita ini dan banyak lagi cerita sepertinya menunjukkan kerajaan Islam adalah kerajaan yang paling awal melaksanakan sistem pemisahan kuasa badan kehakiman daripada badan yang lain dalam kerajaan. Tujuannya bagi menegakkan keadilan dalam aspek perundangan.

Ini menunjukkan bahawa keadilan Islam dalam aspek kehakiman adalah menyeiuruh terhadap semua makhluk tanpa mengira anutan agama, pangkat dan kedudukan seseorang.

Keadilan Undang-Undang Islam

Nabi Muhammad adalah contoh umat yang terbaik, dilantik oleh Allah mengikut pilihan-Nya, ditarbiyah dan dikawal dengan sifat-sifat yang wajib pada diri-Nya. Benar, amanah, menyampaikan semua ajaran Allah, bersifat bijak dan terpelihara daripada melakukan kesalahan.

Sekiranya berlaku kesilapan juga, itu adalah kerana Allah ingin menunjukkan hikmah di sebaliknya dan dengan tujuan Allah ngin membetulkannya dengan wahyu dan sebagainya. Sesungguhnya Rasul itu memiliki sifat manusia, tetapi dikawal selia oleh Allah bagi menjadi contoh kepada orang lain. Melalui Nabi Muhammad S.A.W, Allah peringatkan manusia dan menunjukkan cara beramal dengan Al Quran.

Sesungguhnya Allah Taala menegaskan di dalam Surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud, "(Kami utuskan Para Rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, 'supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya".

Penjelasan dan penerangan daripada Nabi Muhammad itu dinamakan hadis atau sunnah, ia menjadi pentafsir secara praktikal dan tepat.

Golongan yang menolak hadis adalah golongan yang sesat kerana bercanggah dengan kenyataan Al Quran sendiri, serta hakikat yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad yang mewajibkan para sahabat mengumpulkan hadis dengan amanah. Banyak perintah Al Quran yang tidak menyatakan cara amalannya seperti ibadat dan Iain-lain dan ini memerlukan penjelasan cara amalannya daripada Nabi Muhammad S.A.W.

Walaupun hadis yang banyak itu sudah bercampur dengan perkara-perkara yang tidak sihat dari segi kesahihannya, tetapi Allah Taala melahirkan para sarjana berwibawa lagi amanah daripada segi ilmu dan akhlaknya supaya dapat mengumpulkan semuanya dengan cermat dan bertanggungjawab. Mereka memilih dan menapis hadis tersebut dengan teliti berpandukan ilmu, amanah dan akhlak mereka Al Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.

Mereka mengkaji dan meneliti semua hadis tersebut yang terkumpul di dalamnya segala ucapan, amalan, keputusan dan pengakuan Nabi Muhammad S.A.W dalam masa 23 tahun melaksanakan tugas menjadi Rasul.

Para sarjana juga merekodkan secara khusus hadis yang berkait dengan aspek cara hidup dari segi individu, keluarga, masyarakat dan negara, ini termasuklah bidang perundangan dan kehakiman bagi melaksanakan keadilan, selama tempoh pemerintahan Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat di seluruh wilayah Islam pada zamannya.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam Al Quran menerusi ayat 7 surah Al Hasyr maksudnya, "Apa-apa yang dibawa oleh Rasul, hendaklah kamu mengambilnya".

Apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah itu bukan sahaja apa yang disebut dalam Al Quran, tetapi termasuk juga perkara yang tidak disebut di dalamnya. Setiap orang di kalangan Khulafa' Rasyidin bertindak bertanya kepada Para Sahabat berkaitan tindakan Nabi Muhammad S.A.W apabila mereka tidak mendapatinya dalam Al Quran. Apabila pasti tidak ada maklumat, barulah mereka akan bertindak menberi penyelesaian dengan kebijaksanaan tersendiri.